Tazkirah Ramadhan 1: Ramadhan

Tazkirah ini dipetik daripada sesi tazkirah harian sempena Ramadhan di
Al Rajhi Bank
pada 24 Ogos 2009 / 3 Ramadhan 1430H


Bertaqwalah kita semua kepada Allah Ta´ala. Ketahuilah bahawa menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim untuk menyembah Allah dan mentaatiNya pada setiap masa sepanjang kehidupannya. Firman Allah Ta´ala yang bermaksud: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga mati mendatangimu” (al-Hajr: 99).

Sesungguhnya Allah Ta´ala telah menjadikan musim-musim ibadah yang berlipat ganda balasan kebaikan melebihi musim-musim lain. Antara musim-musim ibadah yang dinyatakan ialah bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Al-Quran diturunkan pada bulan tersebut yang menjadi petunjuk bagi manusia dan memberikan penerangan dan hidayah.

Alangkah bertuahnya sesiapa yang dapat mengecapi musim atau bulan yang amat bermakna ini. Kehadiran Ramadhan makin dapat kita rasakan setiap kali berlalunya Rejab dan menjelmanya Sya´ban.

Bersyukurlah kita kepada Allah apabila kita dipanjangkan usia untuk menyambut kehadiran Ramadhan. Mohonlah kepadaNya agar kita senantiasa diberikan kekuatan untuk melakukan amalan soleh yang diterima di sisi Allah. Nabi Muhamnmad s.a.w. memperbanyakkan doa kepada Allah apabila datangnya Ramadhan.

Al-Tabarani meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. berdoa apabila tibanya Ramadhan. Apabila tiba bulan Rejab, Baginda bersabda: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya´ban. Dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.

Nabi Muhammad s.a.w. memberikan perkhabaran gembira kepada para sahabat setiap kali hadirnya Ramadhan. Ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Salman r.a. bahawa beliau (Salman) berkata: Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir di bulan Sya´ban. Sabda Baginda:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya hadir kepada kamu semua suatu bulan yang besar kelebihannya dan penuh keberkatan. Suatu bulan dianugerahkan padanya Malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu malam. Allah menjadikan puasa pada bulan Ramadhan sebagai satu fardhu kewajipan dan Dia menjadikan Qiyamullail pada bulan tersebut sebagai satu ibadah sunat yang amat dituntut.

Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah pada bulan tersebut dengan melakukan satu kebaikan (amalan sunat), ganjarannya adalah seolah-olah dia menunaikan satu ibadah fardhu. Dan sesiapa yang menunaikan satu ibadah fardhu pada bulan tersebut, ganjarannya seolah-olah dia menunaikan 70 ibadah fardhu.

Ramadhan adalah Bulan Kesabaran. Balasan untuk kesabaran adalah syurga. Ramadhan juga bulan yang dilimpahkan rezeki. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, balasannya adalah keampunan bagi dosa-dosanya dan terselamat dari api neraka. Dan baginya juga balasan pahala orang yang berpuasa tanpa ada kekurangan dari segi nilai puasa tersebut.

Lalu sahabat-sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukanlah setiap daripada kami mampu memberi makanan kepada orang yang berpuasa.

Sabda Rasulullah sa.w.: Allah memberikan ganjaran pahala ini kepada sesiapa jua yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa, walaupun dengan hanya susu yang bercampur air (susu cair dan kurang kualiti), sebiji tamar ataupun seteguk air.

Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum daripada dua kolam, seteguk airnya sudah memadai, bahkan dia tidak lagi merasa dahaga sehinggalah dia masuk syurga.

Ramadhan adalah satu bulan yang mana awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pelepasan dari azab neraka.

Maka perbanyakkanlah melakukan empat perkara. Dua perkara adalah sesuatu yang kamu harapkan keredhaan Allah. Manakala dua perkara lain adalah sesuatu yang kamu amat berhajat kepadanya. Adapun dua perkara yang kamu harapkan keredhaan Allah ialah pensaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan kamu memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kamu amat berhajat kepadanya ialah kamu mendambakan syurga Allah dan kamu mohon perlindunganNya daripada api neraka”.

Berdasarkan hadis yang dinyatakan ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan kepada kita kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan dan kebaikan-kebaikannya. Baginda menggalakkan kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan-amalan soleh sama ada yang wajib mahupun yang sunat.

Rasulullah s.a.w. menklasifikasikan Ramadhan sebagai bulan yang amat besar ertinya dan penuh keberkatan. Dua penklasifikasian ini menggambarkan kelebihan Ramadhan melebihi bulan-bulan yang lain. Setiap saat dan detik di dalam bulan ini digambarkan dengan kebesaran dan keberkatan. Keberkatan dari aspek masa, keberkatan dari aspek amalan dan keberkatan dari aspek balasan pahala.

Secara ringkasnya, antara kelebihan-kelebihan Ramadhan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dapat disimpulkan seperti berikut:

1) Malam Lailatul Qadr merupakan satu malam yang lebih baik daripada seribu malam.

2) Kewajipan berpuasa di siang hari dan disunatkan amalan Qiyamullail di malam hari. Berpuasa di siang bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Sementara amalan di malam hari yang merangkumi solat terawih adalah amat dituntut dan tidak disyariatkan pada bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Imam Ahmad dan Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang bangun mendirikan solat (terawih atau pun Qiyamullail) bersama-sama imam sehingga imam selesai dan beredar, nescaya dicatatkan baginya balasan ibadah satu malam yang penuh”.

3) Balasan pahala yang berlipat kali ganda. Dari segi ganjaran, amalan-amalan sunat adalah sama nilainya dengan amalan-amalan fardhu. Manakala satu amalan fardhu pula menyamai 70 amalan fardhu. ´Bonus´ ini tidak akan dirasai melainkan hanya pada bulan Ramadhan.

4) Ramadhan adalah bulan kesabaran. Ini bererti menahan nafsu daripada segala syahwat dengan menunaikan ibadah puasa memerlukan tahap kesabaran yang maksimum. Firman Allah Ta´ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu diberikan balasan pahala yang tak terhitung” (al-Zumar: 10).

5) Ramadhan adalah bulan kurniaan dan anugerah. Anugerah keampunan dan pelepasan api neraka daripada Allah Ta´ala kepada hamba-hambaNya. Pada masa yang sama, anugerah dan pemberian antara manusia sesama mereka melalui pemberian makanan kepada mereka yang kelaparan, minuman kepada mereka yang dahaga dan seumpamanya.

Seandainya kelebihan-kelebihan ini dihayati sepenuhnya, maka wajarlah kita merasa gembira dengan kehadiran Ramadhan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri senantiasa berdoa untuk mengecapi bulan yang penuh keberkatan ini. Inikan pula kita yang mengaku sebagai umat Baginda, hendaklah mengikuti sunnahnya.

Ya Allah! Sampaikanlah kami kepada Ramadhan, bantulah kami dalam mengerjakan ketaatan di bulan Ramadhan dan terimalah semua amalan kami di bulan Ramadhan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s